Pages

Thursday, January 26, 2012

Beriani Timbus

Saya dan seisi keluarga adalah penggemar tegar semua makanan nasi beriani. Tak kiralah beriani Mat Shah, Beriani Gam, Beriani Power. 
Dan yang ini juga.....Beriani Timbus...

Master chefnya,  Mak Jah, (mak saya) beritahu, Nasi beriani asli dimasak dengan cara, rempah lauk beriani (seperti di dalam periuk besar ini) mesti dimasukkan ke dalam nasi. Dengan itu, barulah datangnya Nama Nasi Beriani. 
Jika tidak, tidaklah dinamakan nasi beriani...Tetapi Nasi  beri Ani, beri Ana, beri Limah, beri Tijah dan beri Sesiapa jerlah,  beri free, dan sebagainya. 


 Lebih banyak daun pudina, lebih sedaplah lauk berianinya...
Yang ini adalah beriani lembu. Ini Mak Jah masak. Saya pun...tolong tengok  mak jah  masak.
Inilah Nasi Beriani yang telah ditimbus dengan daging beriani. 
Dan pastinya nasi beriani kaya dengan lemak   gajus, badam, dan kismis yang sangat sedap dan baik untuk menambahkan berat badan.
Bagi menambahkan keenakkannya, penggunan beras basmathi gred A++ adalah dialu-alukan. 

Ini ialah Pencuk...Mengikut kata orang Johor.  
Ini kakak saya buat. Saya pun tolong rasa
 Ayam goreng berempah. Kakak saya buat rempah perapnya. Anak saudara saya goreng...Saya tolong cakap bila boleh angkat. 
 Dalca Kambing....Mak cik saya masak. Saya pun tolong komen

Ini bahagian saya...Yang penting  Lauk sepikul  nasi sikit. 
Lepas tu saya tambah dan tambah  tak tambah lagi.
Lepas makan saya eksersais. Semua pinggan saya cuci. 
Puas hati, dapat makan, dapat tolong.

Thursday, January 19, 2012

Mimpi yang Menyindir

Pukul 6.45 pagi.  
Seorang isteri sedang  menemani suaminya bersarapan.
Sambil mengunyah sosej. 
Berkatalah si suami yang  perkasa kepada isterinya yang gedabak bak paus jelita bak purnama.

 "Semalam kita bermimpi, " Sang suami mula berbicara. Mesra. 
"Mimpi apa?" tanya si isteri yang sedang menongkat dagu dan mamai-mamai lagi. 
" Kita bermimpi waktu awak muda,"kata si suami sambil tersenyum. 

Diam seketika.

"Masa saya muda? Emm...," tanya isteri seakan suka.
Tiba-tiba...
"Awak nampak jelas perempuan itu saya?"  
"Ya. Awak. Takkanlah saya tak kenal isteri sendiri." Jawab si suami.Jujur. 
Sama betul macam bini awak sekarang ni? tanya si isteri lagi.
"Taklah sama betul-betul!"
"Haaa...Tengok, tengok. Awak jangan bergurau?"suara wanita itu mula berubah garau seakan dirasuk saka.
"Memanglah tak sama. Masa tu Comel. Laa ni ...Montel," katanya sambil bangun. 
Malas melayan Kesengalan bininya.
"Errr...Yer ke!" 
Tapi mengapa mimpi masa si isteri muda yer?
Musykillah... 
Mimpi tu macam menyindir aje!

Makanan selepas mimpi sindirian.
Ubi rebus seperiuk. 
+  ikan kering mati kufur.
Cicah sambal tumis....
Haaa
Sepinggan makan...
Sepinggan?
Tak der maknanya.
Berpinggan-pinggan. 

Tuesday, January 17, 2012

Aku tak mati lagi


Sewaktu berumur 7 tahun, mak saya membuat karipap, kuih lapis (kuih lapis yang berwarna coklat dan kuning), dan cucur badak untuk dihantar ke warung-warung untuk membantu menambah pendapatan abah. 

 Selepas balik sekolah, makan dan mandi, emak akan mengajar saya mengaji. Mak mengajar anak-anak jiran mengaji juga tetapi saya mesti mengaji dahulu sebelum anak-anak jiran datang mengaji dan selepas habis mengajar anak-anak jiran, saya akan dipanggil sekali lagi untuk mengaji. 
Ini bermakna
saya mesti mengaji sebanyak dua kali sehari. 
Masa itu saya sangat membenci mak. Dalam hati saya berkata yang mak tak adil, mak jahat. Mak menyusahkan saya sebab orang lain belajar sekali , tetapi saya dua kali. 
Sambil hujung jari mak pantas mengelim karipap  mak menyemak bacaan saya.

Jika  bacaan saya salah, mak akan menyuruh saya mengulangi bacaan saya beberapa kali supaya tidak melakukan kesalahan yang sama lagi 
dan
 saya akan menangis. 
Saya menangis kerana malas untuk mengulang bacaan dan jika bacaan diulang, lebih lamalah saya akan duduk dekat mak untuk mengaji dan bermakna, bertambah lamalah lagi untuk saya dapat bermain. 

 " Kenapa menangis. Siapa yang mati? Aku tak mati lagi, tak payah nangis-nangis." marah mak, kalau saya menangis. 
Mak memang garang. 

Apabila mak bercakap macam itu, tangisan saya bertambah kuat malah saya akan menangis sambil terisak-isak dengan harapan mak akan menyuruh saya berhenti mengaji.
 Tetapi "autar" saya tak pernah menjadi. 
Malah mak akan menyuruh saya diam, kesat air mata dan sambung mengaji semula.
Kalau mood mak tak baik, mak akan menambah muka surat untuk saya baca. 
Dan "kejahatan" mak  telah membuatkan saya berjaya khatam Quran pada usia 8 tahun. 
Malah saya sering mewakili sekolah dalam musabaqah al-Quran dan pernah berjaya hingga ke peringkat  Negeri Johor. 


Mak,
terima kasih mak.
Mak saya tak pandai meluahkan sayangnya pada anak-anak. 
Seingat saya, saya tidak pernah dipeluk mak, tapi saya tahu mak sayang saya. 
Dan saya juga sayang mak.  
Malah, amat sayang. 
Moga mak senantiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah.


Saya,
Bang Badang,
dan
Anak-anak
adalah 
Peminat Tegar
Karipap.
Dalam setahun, 300 hari kami, kami mesti makan karipap.
Dan setiap kali membuat karipap (setahun 2 kali, selebihnya, 298 kali, saya beli), saya akan bercerita hal ini  kepada anak-anak saya.


Dan kata mereka
"Bukan cerita ni mama dah banyak kali  cerita ?"
"Heh?"
"Dengor ajer lah, tak dengor cerita mak berdosa!"
 Ini  adalah antara karipap hasil keliman anak-anak perempuan saya. 

Friday, January 13, 2012

Rahsia :Tak Boleh Tutup

Kita ada suatu rahsia. 
Dah lama kita simpan. 
Sebenarnya kita cacat.
 Cacat? Kat Kaki? Kat telinga? Kat mulut?
....Haaa...cacat dekat dengan mulut.
 Dekat dengan mulut? Sumbing? 
Taklah...lagi dekat dengan mulut... 
...Cacat kat gigi. 
 Gigi hadapan atas dan bawah kak gerau tak leh tutup rapat-rapat . 
Kalau makan, memang susah nak menggigit . 
 Kalau gigit sandwich, sandwich sure tak putus ...
Susah betul kalau nak makan. Melainkan menggunakan gigi taring...
Macam Harimau Bintang pulak ek!

Lama-lama, kita cakap dengan  bang badang, kita nak betulkan gigi kita. 

Bang badang kata, 
" Tak payahlah.Susah-susah nak makan pun , gemuk membesar jugak..."
Emmm
Terharu sangat dengan  pujian hinaan bang badang...
Jadi kita pun tak jadi betulkan gigi. 

Chicken Mandy

****************
Lagipun, kita benci nak pergi klinik gigi sebab pada suatu hari, kita ke klinik gigi, doktor suruh kita rapatkan gigi.
Kita pun rapatkan.
Lepas tu dr tu cakap lagi, "Tutup rapat-rapat, ya," 
Kita cakap,
"Dah rapat dah ni...," 
Lagi Rapat yer!
"Setakat ni ajer boleh rapat giginya dr." kata kita. 
Dr tu ketawa berdekah-dekat kat kita. Kuat pulak tu dia ketawa. Siap tepuk-tepuk bahu kita sambil geleng-geleng kepala....
Sengal tak?
Sengal kan?
Rasa hina tau!
Tapi, sebenarnya, itu bayangan kita ajer.
Dr tu senyum ajer pun.

mbeeeekkk

Tapi kita lebih suka makan kat Restoran D Arab.

Tapi kita tetap bersyukur, sebab kalau gigi kita rapat betul mesti lagi banyak kita makan. 

Monday, January 9, 2012

Potong Pendek

Suatu petang...datang seorang bangsawan bangla ke rumah. 
Bangla? Ya. Bangla mesin rumput.

 "Ini rumput kasi potong . Ini pun kasi potong pendek haaa."
Aku mengarahkan bangla itu sambil menunjukkan arah pokok serai yang sudah tua dan hampir mati.
 " Tapppiii, yang inii, jangan potong tau," aku mengingatkannya sambil menujuk ke arah beberapa batang pokok serai yang hanya berdaun bulu sehelai yang baru kutanam semula 2 minggu lalu.
Bangla hanya mengangguk sambil tersenyum. 

Aku berkata lagi, "Faham tak?"
Dia menyengetkan kepalanya ke kanan dua kali . 
Yang aku faham, tandanya dia faham...


Dia mula memotong rumput. 
ZZennggg Zzengg...bunyi mesin rumputnya memecah kedamaian rumahku. 

30 minit kemudian. 

Aku pun keluar sambil membawakannya sebotol air mineral sejuk. 
Aku memandang sekeliling dengan hati yang puas....
Semua sudah dipotong.
Pendek semuanya....
Hingga tiada satu pun yang tidak pendek. 
Rumput, lalang, serai, semuanya dipotong pendek. 
SERAI? 
PENDEK?
YA....SEMUA PENDEKKKK..
Aku mendekati bangla itu sambil bercekak pinggangku yang bercekak-cekak.
"Mana serai, kan saya cakap JANGAN POTONG?"
Dan dia sekali lagi menyengetkan kepalanya ke kanan dua kali. 

Kali ini, aku rasa...itu tanda dia SAWAN. 
Bukan faham...

Terasa diri Teraniaya.

Ayam Bakar Berempah 3 Rasa....Tepi jalan Sungai Buluh mengarah ke Paya Jaras...
Memercik di dalam mulut....Hanya yang teraniaya yang tahu akan nikmatnya...
Best. 

Thursday, January 5, 2012

Kesian Saya

Sekarang saya sangat malas untuk ke tempat kerja. 
Setiap pagi saya mengambil masa 10 minit hanya untuk mengeliat, golek-golek macam tenuk  golek kambing golek hanya untuk bangun dalam posisi duduk.
Mengambil masa 2 minit lagi untuk duduk sambil memeluk bantal golek dengan mata masih tertutup sebelum menurunkan sebelah kaki ke birai katil + seminit untuk menurunkan kaki kedua pula...

Nasib baik Allah hanya memberi saya sepasang kaki. Kalau banyak kaki macam ulat gonggok? 
Tentu saya tidak akan datang kerja hanya untuk menurunkan semua kaki saya. 
Dan kemudiannya ..
saya bangun. 
Bangun? 
Tidak-tidak...
Saya akan  berbaring ke katil semula. 
Dan...mencuba bangun dengan melurutkan badan dari katil. Dan melepek lagi di situ...Sehingga...
terdengar suara bang badang dari tingkat bawah

 " Oiii tuuuutttt , tengok jam pukul berapa.Bawak-bawaklah bangun,  goreng-goreng karipap, buat sandwic ke"
Apakah Tuuuut itu? 

Tuuut itu ialah,,,,
Ah...biarlah Rahsia... 
Errr tetiba ajer kan? 

Kesian saya...
kerana...
- masih perlu bekerja lagi...
- sudah kekeringan idea
- teringin makan kambing panggang cam dalam gambar bawah ni...
Kesian saya. 
Kambing Panggang masa open house raya opis bang badang...mana nak dapat makan cam ni.. waktu tak ada open house?
Makan dengan whipped potato bersama gravy black pepper nya....
Oh...Nikmat...