Pages

Sunday, February 8, 2015

Saya tenung ikan goreng tadi

Assalammualaikum.


Semalam saya ke Shah Alam untuk membeli makanan haiwan peliharaan saya. 
Saya ke Restoran Melayu yang agak popular di Shah Alam. Saya mengagak restoran itu popular kerana pelanggannya ramai. 

Sudah beberapa kali saya makan di situ. Makanannya biasa-biasa sahaja. 
Tetapi disebabkan tidak kuasa untuk berpusing-pusing mencari restoran lain saya membuat keputusan untuk "tapau"nasi campur di situ.
Lagipun bang badang tiba-tiba mengidam cendol mamak di hadapan restorannya. 

Setelah dua kali saya "bertawaf" memilih lauk pauk, akhirnya pilihan saya adalah nasi campur berlauk ikan kembung goreng (size m) , daging dendeng 4 ketul (setiap satu sebesar 2 jari manis) dan sesenduk lemak nangka. 

Saya ke kaunter bayaran. 
Cik Puan kashier mengira dengan pantas dan cekap. 
Tap! Tap! Tap!.
Bunyi kekunci mesin kira-kira ditekan.
Tentu dulunya dia terror matematik. 

"RM 14", katanya.
Yakin Sangatt. 

"14 Ringgit?" 
Mata saya terbeliak. Hampir terjojol keluar ke atas kaunter.

Saya berusaha mengawal emosi.
Saya tenung ikan goreng tadi. 
Dalam-dalam. 
Saya yakin, itu bukan spesis Arowana
dan 
Daging itu daging lembu tua bukan lembu dara. 
Dan hari ini, 
habis sebesen kacang kuda ni saya makan 
dan saya masih tak percaya. 

Tuesday, February 3, 2015

Positif Ok! Positif

Assalammualaikum. 

Apabila sesuatu yang sukar difikirkan mudah, maka mudahlah. 
Sentiasalah berfikiran positif agar hasilnya positif juga.


Hari ini saya berjaya membuat kuih Kole Kacang.

Hampir Sawan di dapur menunggu
Tahi Minyak Timbul.

Baru saya tahu ru
pa-rupanya
hendak membuat Tahi Minyak lebih senang 
daripada membuat  Tahi Mata.

Hah!

Positif  sangat.

Thursday, January 29, 2015

Gesel-gesel dan Dot Dot Dot

Assalammualaikum...


Al Kisah, adalahlah seorang ini selalu bertandang ke rumah melepak-lepak. 
Umpama rumah kita rumah dia. Sudahlah melepak, bising pula. Penat melepak tidur tak ingat dunia. Kalau tidak di bilik atas, di ruang tamu dan bilik bawah pun jadilah. 
Lama pula tidurnya. 

Baiknya, makan dan berak di rumah sebelah. Kalau datang tak pernah perut kosong. Disebabkan masanya lebih banyak dihabiskan di rumah saya, saya isytiharkan 
dia milik saya.

Setelah dibelek-belek, saya agak dia betina. 
Maka kami memanggilnya Tinne (Betina).
Curlst nama.
Urban sangatt.

3 bulan kemudian.

Nampak Tinne gesel-gesel almari 
dan 
tiba-tiba dengan payahnya dia pun

dot dot dot.

Tidakkkkkkkkk....


Rupa-rupanya  Kucingku En Sotong. 

Ha ha ha...
Ah Tong, Ah Tong!!!
Ah Tong, 
usah bersedih Ah Tong, 
kami terima Ah Tong seadanya...

Saturday, January 24, 2015

Tertinggal Beg- Mojo Sangat

Assalammualaikum.


"Ini bawa balik asrama. Makan dengan kawan-kawan," kata abang badang sambil memasukkan sebalang sambal cili api ikan bilis,1 bungkus besar kerepek ubi dan 
2 bungkus maruku mamak kacang putih
ke dalam beg sandang Farisah.

"Ha," balas Farisah ringkas. Pendek.
"Nasi dengan rendang, dalam beg bimbit kecil ini. Bawa atas bas, "pesan abang badang lagi. 

"Syampu, mandian, sabun basuh ayah masukkan dalam beg sandang yang berisi baju ini. Ingat. Kamu ada dua beg sandang. Satu dalam bonet bas satu lagi kamu bawa naik atas bas. Satu beg jinjing. Ingat ya." Beriya-iya bang badang mengingatkan anaknya. 


Farisah mengangguk-angguk. Memadang ayahnya. Kosong. 
Kak gerau memandang Farisah. Sayu. 

Begitulah setiap kali hendak balik ke Kulim. Bang Badanglah yang mengemaskan barang yang hendak dibawa pulang. 

Kak gerau pula memasak bekalan. 

6 jam kemudian. 

"Helo mama. Isya dah sampai," beritahu Farisah  sebaik sahaja tiba di Kulim. 
"Tapi kan ma, satu beg dah tertinggal dalam bas." 
"Apa? Tertinggal?" 
"Beg mana? Beg baju ke beg makanan? Rendang? Tinggal tak?" tanya kak gerau bertalu-talu umpama das-das bunga api tahun baru. 

"Beg baju," jawab Farisah.

Fuhh...
Nasib baik bukan beg makanan.
Nasib baik bukan beg rendang.
Kalau tidak...
Sesal separuh nyawa.

Muka beg tertinggal. 
Mojo sangattt...
(Mojo adalah positif kepada Poyo. Sekian)
-------------------------------------------------------------------------------------

NotaKakikeDahi: Ketahuilah anak-anak, begitulah rasa semua ibu bapa setiap kali anak-anak pulang ke asrama atau ketika anak-anak berjauhan.
 Risau, bimbang, sayu, merindu. 
Kirimkan doa kepada mereka ketika ada dan ketika tiadanya mereka juga. 

Thursday, January 1, 2015

Mood Arjuna Beta

Assalammualaikum...


Tentu banyak yang tertunggu-tunggu sambungan kisah Penunggu Episod 2. 
Aku kira.
Rupa-rupanya tiada sesiapa pun yang menunggu sequel nya. 
Ah, padan muka. 
Engkau ingat kau Che Ta? Neelofa? 
Oh, rupa-rupanya hanya kak gerau propa. 
Terasa sedih.

Siapalah kita.
Sebulan menjadi penunggu, ketawanya bagai nak gila. Sebab itu orang tua-tua berkata jangan banyak ketawa, nanti menangis pula...
Sudah setahun menjadi penunggu, jiwa cepat terasa.
Dengar Fynn Jamal mendendangkan Arjuna Beta, berjojos-jojos air mata.

Ketika berjawatan tinggi, kita di pandang dan dipuji, (dipuji? ada ke? ada kot) setelah tidak berjawatan, tiada siapa pun yang peduli. 
Sambil tersedu-sedan aku cuba mengingat kembali jawatanku dulu... 

Tetapi 
 tangisanku semakin menggila kerana aku
kembali sedar, aku hanya kuli. 
Jawatan tinggi kebendanya!

Uwaaaaa...
Nyamanlah kak gerau propa,
Mimpikan yang indah saja...

Sudah-sudahlah gerau. 
 Orang yang dilanda banjir yang semua harta bendanya punah pun masih tabah dan redha dengan ujian Allah. 

Kalau setakat orang tak baca, nak bersedih-sedih...
Jangan nak mengada-ngada!
Disebabkan dulu tak berjawatan tinggi, sekarang kita susun balang tinggi-tinggi.
Puas hati.

Tujuan asalnya entri ini hanya untuk memberitahu bahawa sekarang kita ada jual
Jejari ketam. 
Itu sahaja. 
Jumpa lagi.

Wassalam.

Wednesday, December 24, 2014

Lelaki Sejati

Assalammualaikum...


Sepanjang hari langit menangis. Rajukan mentari lebih panjang panjang kali ini. 
Angin semilir yang dingin membawa rasa teringin menikmati soto. 
Menghirup sup panas-panas. 
Oh, nikmatnya!

Ada lebihan 6 kampit kecil nasi impit di dalam laci dapur. Jadilah. Ayam pun ada. Ada beberapa bahan yang tiada. 
Bergedil? Emm, tak payahlah, menggentel bergedil sahaja hanya menambah rembesan asid di kolon hingga ke rektum...(Mood biologi). 
Pedih dan lapar. 

"Adik, belikan mama barang-barang ini, " ujarku sambil menghulurkan secebis kertas pesanan kepada anak lelaki bongsuku.
1. daun sup sepokok
2. daun bawang sepokok
3. taugeh (2 genggam)
4. rempah sup sebungkus kecil...


Adik menyambut kertas tersebut tanpa sepatah kata. 
Aku menghulurkan RM10 kepada adik. 

Sepuluh minit kemudian...
Mana taugeh? Kenapa ada tauhu,"tanyaku kepada adik. 
"Mana ada mama suruh beli taugeh. Mama suruh beli tauhu segenggam kan,' jawab adik.Nadanya kali ini agak sedikit keras.

"Mama suruh beli taugeh segenggam. Tauhu mana boleh beli segenggam," jawabku.

"Itulah, hairan juga mama tulis beli tahu segenggam.. Tak apalah, lagi pun Nabil tak suka taugeh pun," jawab adik selamba. 

Ehhhh...Suka-suka hati saja. 
Banyak pula tauhu yang dibelinya. 
Ketika itu aku sedar, bahawa ciri-ciri lelaki sejati ada pada anakku...menganggap yang penting tidak sepenting mana...
Mak kagum nak.
 Ada hikmahnya. Tauhu akhirnya menjadi bergedil tauhu.

Saturday, November 22, 2014

Penunggu...

Assalammualaikum. 


Bulan ini cukup setahun kak gerau menjadi Penunggu.

Tunggu bang badang balik dari kerja, tunggu Dak Ahmad balik dari sekolah, dan tunggu Dak Zati dengan Dak Isya balik dari asrama.

Lebih 20 tahun bekerja.
 Ya. 

Lama benar.
Opis pun meluat tengok akak...

Akak?
Akak pun dah tak larat. Naik tangga ofis pun merangkak...
Sebelum mengesot baik blah.

Minggu-minggu awal bertaraf penunggu rumah, hari-hari berdansalah akak di rumah. 

Zumba? Salsa? Gelek?
Ha ha ha...
Boleh buat apa-apa sahaja yang akak suka.

Siapa ada kisah, akak seorang di rumah.
Ha ha ha...
Ha ha ha...

Tidur? Makan? Tengok Korea?
Bila-bila masa saja.

Siapa mahu marah?
Boss?
Ha ha ha...
Boleh jalan daaaa

Ha ha ha.....
Ha ha ha....

CCTV?
Pun dah tak ada...
Ha 
Ha
Ha...Ha
Ha
Ha.....
Banyak ketawa nampak?
Senang Hati Nampak?
Itu cerita minggu pertama Penunggu Rumah. 

Baru Minggu Pertama 
OK.

Letih.
Banyak sangat ketawa..


Kita tengok nanti apa cerita...
Ketawa laaa...
Suka sangat kan?
Ketawalah gerau...

Ketawa laaa...